Apa itu Freehold?
Freehold atau dalam bahasa melayunya "Hak milik kekal". Iaitu jenis milikan tanah yang bermaksud jika anda membeli tanah tersebut anda akan memiliki tanah tersebut untuk selama lamanya. Untuk rumah yang mempunyai jenis milikan tanah freehold ini bermaksud rumah tersebut dibina di atas tanah hak milik kekal. Jika anda membeli rumah jenis freehold ini anda akan memiliki rumah termasuk tanah untuk selama-lamanya. Maklumat ini boleh disemak di dalam geran tanah atau rumah.
Walaubagaimanapun, ramai yang tidak menyedari tanah dan rumah hak milik kekal ini juga boleh dibeli atau diambil alih oleh kerajaan secara paksa. Pemilik hartanah dipaksa untuk menjual rumah atau tanah secara paksa kepada kerajaan mengikut harga pasaran tanpa apa-apa pampasan. Ianya juga dipanggil "pengambilan paksa" atau "forced acquisition". Pihak kerajaan dibenarkan untuk mengambil alih tanah dan rumah untuk tujuan projek awam dan pembangunan sistem pengangkutan awam seperti pembinaan jalan raya, LRT dan sebagainya.
Apa itu Leasehold?
Leasehold adalah pajakan. Tanah yang mempunyai status leasehold bererti tanah tersebut ialah tanah yang diberi pajak atau diberi sewa oleh kerajaan dalam sesuatu tempoh biasanya paling lama selama 99 tahun dan paling pendek selama 30 tahun. Selepas 99 tahun, tanah tersebut hendaklah dipulangkan semula oleh pemilik kepada pihak kerajaan. Begitu juga rumah yang berstatus leasehold bermaksud rumah itu dibina di atas tanah yang diberi pajak atau diberi sewa oleh kerajaan. Pemilik tanah atau rumah tidak diberikan sebarang pampasan setelah tempoh pajakan tamat. Maklumat mengenai bila tempoh tamat pajakan boleh disemak di dalam geran. Kebiasaanya geran tanah atau rumah akan memaparkan bila tempoh pajakan bermula dan berapa lama tempoh pajakan. Bila tarikh berakhir pajakan hendaklah dikira sendiri.