Rumah Kos Rendah Johor

Rumah Kos Rendah Johor

Untuk makluman syarat kelayakan untuk memohon rumah kos rendah dan sederhana berbeza untuk setiap negeri. Buat masa sekarang rumah kos rendah di Johor diantaranya dikenali sebagai Rumah Mampu Biaya Johor atau RMB.

Berikut adalah kategori RMB dan had maksimum pendapatan:

1. RMB A (Rumah Mampu Biaya A)
    Harga Rumah : RM 42 000
    Had Pendapatan Seisi Rumah : RM 4000

2. RMB B (Rumah Mampu Biaya B)
    Harga Rumah : RM 80 000
    Had Pendapatan Seisi Rumah : RM 6000

3. RMB C (Rumah Mampu Biaya C)
    Harga Rumah : RM 150 000
    Had Pendapatan Seisi Rumah : RM 8000

4. RMB D (Rumah Mampu Biaya D)
    Harga Rumah : RM 250 000 - RM 300 000
    Had Pendapatan Seisi Rumah : RM 10000

Syarat-Syarat Kelayakan RMB Johor

  • Pemohon / pasangan yang telah memiliki rumah kos sederhana, rumah mampu milik dan rumah mewah tidak layak untuk memohon rumah RMB.
  • Pemohon / pasangan yang telah memiliki RKR / RKSR / PKJA / PKJB boleh mohon rumah kedua iaitu RMB C (Harga Rumah : RM 150 000) atau RMB D (Harga Rumah : RM 250 000 - RM 300 000)
  • Pemohon / pasangan yang telah memiliki RKR selama 10 tahun ke atas layak untuk memohon rumah kedua iaitu rumah RMB B (Harga Rumah : RM 80 000)
  • Hanya satu permohonan bagi pasangan suami / isteri. Ini bermaksud bagi suami / isteri yang telah memohon atau pun memiliki RMB tidak layak untuk memohon.
  • Berkahwin atau bujang layak memohon. Tetapi bagi yang sudah berkahwin bergantung pada pasangan sama ada sudah memiliki rumah atau belum dan bergantung juga pada jenis rumah.
  • Warganegara Malaysia yang lahir dari mana-mana negeri yang telah menetap selama 10 tahun di negeri Johor dan berumur 18 tahun ke atas layak memohon.

Bagaimana dengan rumah kos rendah subsales (second hand)? Secara umumnya syarat - syarat untuk membeli rumah kos rendah subsales (second hand) adalah pasangan suami / isteri yang telah memiliki rumah kos rendah, rumah kos sederhana, rumah mampu milik dan rumah mewah juga tidak layak untuk membeli sebuah lagi rumah kos rendah.

Jadi bagi yang berminat untuk mulakan pelaburan hartanah. Keputusan untuk membeli rumah pertama itu penting. Sama ada anda patut membeli rumah yang berstatus kos rendah atau kategori rumah biasa atau mewah?

Untuk makluman buat masa ini jika anda pernah membeli jenis rumah kos rendah di negeri lain anda masih boleh memohon Rumah kos rendah di negeri Johor jika anda memenuhi syarat - syarat kelayakan.